Tarif elektrik: Beri peluang pihak berkepentingan jalankan libat urus
SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberikan peluang kepada pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan dan industri kecil serta sederhana untuk menjalankan libat urus terlebih dahulu berhubung dakwaan mengenai kenaikan kadar tarif elektrik.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan tersebut bagi mendengar dan mengambil kira setiap pandangan serta cadangan yang diberikan golongan berkenaan.
“Sebelum apa-apa keputusan diambil oleh pihak kerajaan mengenai tarif elektrik, lebih baik semua pihak berkepentingan akan diberikan peluang untuk sesi libat urus.
“Pihak kerajaan mesti memahami bahawa kadar kenaikan tarif itu akan membawa implikasi yang amat luas.
“Implikasi yang saya maksudkan adalah ia boleh menjadikan harga makanan dan barangan naik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 26 Disember memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), berkuat kuasa Julai 2025 di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Susulan itu, kerajaan dilaporkan tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik menjadi bebanan dan menjejaskan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan (seperti mana dahulu) hanya melibatkan golongan atasan atau mahakaya.
Sementara itu, Lam Thye berkata, industri kecil dan sederhana memerlukan sedikit masa lagi untuk lebih stabil dari segi ekonomi tanpa kenaikan kadar tarif elektrik berkenaan.
Menurutnya, ia berikutan rakyat masih dalam fasa pemulihan bagi memperbaiki keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 lalu.
“Industri ini boleh jadi lebih stabil, tetapi kenaikan tarif itu ketika ini boleh menjejaskan apa yang dilakukan mereka sekarang.
“Saya bukan katakan tarif itu tidak boleh, tetapi keadaan ekonomi negara dan rakyat masih belum sesuai,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!