Pemandu lori dibunuh, mayat disumbat dalam but kereta
MERSING - Dendam dipercayai menjadi motif utama seorang pemandu lori dibunuh sebelum mayatnya ditemui di dalam but kereta jenis Proton Waja di Kilometer (KM) 26 Jalan Jemaluang- Kahang di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher.
"Bertindak atas maklumat risikan yang diperolehi, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 33 hingga 35 tahun di Johor Bahru pada jam 4.30 pagi, Ahad.
"Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai dendam kerana mangsa disyaki ada hubungan dengan bekas isteri suspek," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, kedua-dua suspek yang merupakan bekas suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula Ahad.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat.
"Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi dua minit tujuh saat memaparkan sebuah kereta ditemui orang awam di tepi Jalan Kahang- Jemaluang berhampiran sebuah ladang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!