Hukum sebat: Menyedihkan bila orang Islam sendiri tak setuju, kata Tuan Ibrahim
PASIR SALAK - Pas akui terkilan dan sedih apabila hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan di Terengganu mendapat tentangan dan kritikan daripada orang Islam sendiri.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu menggambarkan masyarakat negara ini semakin jauh dari perundangan sebenar Islam.
"Hukum yang ALLAH perintahkan, ramai yang komplen, mungkin sebab kita dah terlalu lama terpisah dengan hukum dan sistem peraturan Islam. Bayangkan beratus tahun hukum Islam ini tidak dilaksanakan di seluruh dunia
"Hingga bila kita nak bawa balik untuk kebaikan, orang Islam sendiri tidak setuju, mereka bantah... yang bukan Islam lagilah," katanya ketika berucap dalam Sambutan Jubli Intan 60 tahun Pas Kawasan Pasir Salak di Chenderong Balai di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan itu perlu dilihat sebagai tahap keseriusan tinggi pihak berkuasa negeri dalam menangani masalah jenayah.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya dijadikan polemik dan bahan kritikan pelaksanaan undang-undang Islam terhadap pesalah jenayah.
"Jenayah ini ibarat penyakit masyarakat, perlu ada hukuman.
"Seperti pesakit kencing manis jumpa doktor dan diminta kerat kaki. Saya rasa sudah beribu kaki kena potong, tetapi tak ada pula heboh dalam surat khabar kaki dipotong oleh doktor," katanya.
Pada Jumaat, seorang duda menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!