Che Ta bayar hutang Mara RM550,000 - Asyraf Wajdi

Rozita Che Wan (kiri), dan Asyraf Wajdi
Rozita Che Wan (kiri), dan Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon sensasi, Rozita Che Wan telah membayar sebahagian daripada hutang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejumlah RM550,000.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bayaran tersebut diterima sehingga Jumaat lalu menyebabkan tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Rozita ditangguhkan.

"Manakala baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum penghujung Mac.

"Sudah saya tegaskan bahawa Mara tidak akan berkompromi dengan segala tindakan untuk mendapatkan balik setiap sen wang rakyat yang diamanahkan.

"Ini akan membolehkan wang ini dimanfaatkan pula kepada orang lain yang amat memerlukan," katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Rozita yang lebih mesra dipanggil Che Ta, 51, memberitahu sudah melunaskan pinjaman Mara bernilai hampir RM1 juta.

Perkara itu dimaklumkan Rozita menerusi tangkap layar perbualan bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.

Aaisyah mempersoalkan mengenai status hutang sehingga harta benda hampir disita menerusi perbualan dua beranak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Rozita dikatakan masih belum tampil bertemu pihak berkenaan untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya, RCW Worldwide Sdn Bhd.

Susulan itu, bahagian undang-undang Mara dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.

Pada 24 Disember lalu, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!