MRA salur bantuan persediaan banjir di Mersing
SHAH ALAM - Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan persediaan awal banjir kepada penduduk Kampung Peta, Mersing berhampiran Taman Negara Endau-Rompin, Johor.
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penduduk kampung bersedia menghadapi musim tengkujuh yang sering mengakibatkan banjir.
Menurutnya, bantuan kecemasan tersebut meliputi 260 bungkusan makanan sedia dimakan, satu set peralatan dapur seperti periuk nasi, dapur gas dan cerek air serta 50 set survival kit.
"Ini kerana Kampung Peta kerap terputus bekalan makanan apabila banjir melanda kerana lokasi geografinya yang berada lebih kurang dua jam melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
"Berhadapan dengan keadaan logistik yang mencabar dan bekalan asas yang amat berkurang apabila banjir berlaku, MRA Johor dengan kerjasama MRA Pusat telah mengambil inisiatif untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan sebagai persediaan menghadapi situasi ini," katanya ketika lawatan rasmi ke Sekolah Rimba di kampung tersebut pada Isnin lalu.
Sekolah Rimba merupakan projek pendidikan khusus untuk komuniti Orang Asli hasil usaha dan sokongan MRA Johor dan United Nation Development Program (UNDP) sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain Sekolah Rimba, komuniti tersebut juga terlibat projek eko-pelancongan yang dibangunkan sebagai rancangan pemberdayaan ekonomi setempat selain daripada aktiviti lain seperti pertanian dan pengumpulan hasil hutan oleh penduduk.
Tambah Mohd Daud, lawatan tersebut memberi peluang kepada pihaknya bagi menilai keadaan semasa serta mengenal pasti keperluan kritikal penduduk kampung.
"MRA berharap dapat membantu meringankan beban penduduk serta memastikan kesejahteraan mereka terjamin walaupun dalam situasi bencana.
"MRA menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menyokong usaha murni ini melalui sumbangan dan solidariti bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Bagi sesiapa yang ingin menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir anjuran MRA, sila hubungi ibu pejabat MRA di talian 603-91744672 atau boleh berbuat demikian ke akaun bank RHB, 26424500007270 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation," katanya.
Kampung Peta merupakan sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, masyarakatnya kaya dengan budaya tradisional dan masih mengekalkan persekitaran semula jadi.
Kampung berkenaan di kelilingi hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti termasuk pelbagai spesies flora dan fauna unik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!