'Kami mahu keadilan buat arwah' - Keluarga

Norashikin (kanan) dan adiknya, Norhakim bersama-sama bapa mereka, Mohammad (kiri), menunjukkan gambar arwah Shakirin semasa di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada Ahad. Gambar kecil: SHAKIRIN
Norashikin (kanan) dan adiknya, Norhakim bersama-sama bapa mereka, Mohammad (kiri), menunjukkan gambar arwah Shakirin semasa di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada Ahad. Gambar kecil: SHAKIRIN
A
A
A

KOTA TINGGI - "Kami sekeluarga mahu keadilan untuk arwah," Demikian luahan adik kepada pemandu lori yang dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemukan dalam but kereta Proton Waja dalam semak di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing pada Sabtu.

Norashikin Mohammad, 26, berkata, keluarganya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak dapat menerima abangnya, Shakirin, 28, diperlakukan sebegitu rupa.

Suri rumah itu berkata, keluarganya mengetahui kejadian yang menimpa abangnya itu selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Sabtu.

Menurutnya, mereka sekeluarga termasuk ibu bapanya tidak mengetahui apa yang berlaku dan kenapa dipanggil ke IPD Mersing sebelum membuat proses pengecaman.

"Polis beritahu, abang dipercayai dibunuh di tempat lain, mungkin di Johor Bahru tetapi kemudian dibawa ke Mersing. Kami tahu abang tiada musuh, tetapi kawan abang ada beritahu abang pernah diugut oleh suspek.

"Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang kawan. Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin tetapi polis maklum pada kami, mereka baharu bercerai bulan ini," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak di sini pada malam Ahad.

Jenazah Allahyarham Shakirin selamat disemadikan kira-kira pada jam 8 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak
Jenazah Allahyarham Shakirin selamat disemadikan kira-kira pada jam 8 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak

Dalam pada itu, Norashikin berkata, abang sulungnya itu pernah berkahwin, namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir abangnya dilihat pada Rabu lalu, sedang mencuci kereta di rumah keluarganya di Felda Pasak.

"Abang keluar rumah dengan menaiki Proton Waja berkenaan jam 5 petang, tanpa memberitahu dia pergi ke mana sebelum terus tidak pulang ke rumah.

"Ayah telefon saya pada sebelah malam, Rabu lalu, minta saya hubungi abang sebab sudah malam abang tak pulang rumah," ujarnya.

Norashikin yang tinggal di Pasir Gudang berkata, mereka sekeluarga lega kerana pembunuh abangnya itu sudah berjaya ditangkap.

Sementara itu, bapa arwah, Mohammad Abu Bakar, 61, berkata, dia akan merindui anak sulungnya itu kerana hanya arwah yang tinggal bersama-sama dia dan isteri.

"Lepas ini, saya tinggal berdua dengan isteri di rumah. Anak saya empat orang sahaja, pada 2022, anak kedua saya meninggal dunia kerana sakit, sekarang anak sulung pula pergi dulu sebelum saya. Saya sedih tinggal dua sahaja lagi anak saya yang ada," katanya sambil mengesat air mata.

Mohammad berkata, dia selalu berpesan supaya anaknya menjaga diri setiap kali hendak keluar bekerja, namun tidak sangka pada Rabu lalu, arwah keluar tanpa beritahu apa-apa.

"Kebiasaannya kalau dia nak bawa lori, dia mesti akan cakap nak pergi ke mana. Saya akan pesan jaga diri. Rabu lalu, dia tiba-tiba keluar bawa kereta itu. Itu memang kereta dia, tetapi dia tak pernah bawa, sebab dia beri saya pakai. Hari itu, dia keluar tak bagitahu pergi mana," ujarnya.

Jenazah Allahyarham Shakirin selamat disemadikan kira-kira pada jam 8 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga saudara mara dan kenalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!