Dua penumpang Thailand disahkan maut dalam tragedi pesawat Korea Selatan
BANGKOK - Kementerian Luar Thailand mengesahkan bahawa dua rakyatnya adalah antara yang maut dalam insiden tragis membabitkan penerbangan Jeju Air pada Ahad ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan.
Kementerian Luar Negeri (MFA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kedutaan Diraja Thailand di Seoul menerima pengesahan daripada pihak berkuasa Korea Selatan mengenai dua penumpang Thailand yang terkorban dalam kejadian itu.
"Kementerian telah pun menghubungi saudara-mara warga Thailand yang meninggal dunia," katanya di sini hari ini.
MFA berkata, Kedutaan Diraja Thailand di Seoul sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Korea Selatan dan Jeju Air untuk membantu keluarga mangsa.
Kementerian itu berkata usaha sedang dijalankan bagi memudahkan perjalanan keluarga mangsa dari Thailand ke Korea Selatan.
"Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah mendalam kepada semua keluarga mangsa atas kehilangan besar mereka, terutamanya ketika musim cuti apabila keluarga sering melakukan perjalanan untuk bertemu keluarga tersayang," menurut MFA.
Kementerian itu juga memberi jaminan bahawa ia akan terus menyediakan semua sokongan dan bentuk bantuan yang diperlukan kepada keluarga terjejas dalam tempoh sukar ini.
Memetik pihak berkuasa, Agensi Berita Yonhap melaporkan pesawat penumpang itu terhempas dan meletup di lapangan terbang, mengorbankan 179 nyawa, manakala dua yang lain berjaya diselamatkan.
Pesawat itu membawa seramai 181 orang, termasuk enam kru dan sedang dalam penerbangan pulang dari Bangkok.
Kesemua penumpang adalah rakyat Korea, kecuali dua warga Thailand.
Daripada jumlah itu, 82 adalah lelaki dan 93 wanita, dalam lingkungan umur antara tiga hingga 78 tahun.
Sebahagian besar penumpang adalah mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an, 50-an dan 60-an, menurut laporan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!