PRK Cameron Highlands: Petani berbut kuning curi tumpuan
CAMERON HIGHLANDS - Calon Bebas, Wong Seng Yee, 40, mencuri perhatian pada penamaan calon hari ini dengan tampil memakai topi dan berbut kuning.
Menurut Seng Yee, imej beliau itu melambangkan pekerjaannya sebagai petani.
Pertama kali bertanding sebagai calon, katanya, beliau mewakili golongan petani di Cameron Highlands untuk menyuarakan isu-isu setempat.
"Saya melihat diri sendiri sebagai suara ketiga dan golongan minoriti. Walaupun minoriti, tetapi saya mewakili kumpulan yang lebih besar iaitu komuniti petani di Cameron Highlands.
"Dalam komuniti pertanian, kita tidak lupa isu-isu setempat. Kempen saya akan memfokuskan beberapa isu iaitu alam sekitar, komuniti pertanian, pelancongan serta komuniti orang Asli," katanya kepada media, hari ini.
Menurut beliau, PRK Cameron Highlands merupakan platform terbaik untuknya menyuarakan isu-isu berkenaan.
"Bagi saya, tak ada guna untuk salahkan kerajaan dulu atau sekarang. Sebaliknya kita perlu tampil dengan pelan positif untuk kemampanan Cameron Highlands.
"Pelancong datang ke sini untuk melihat tempat menarik dan sumber asli serta pertanian yang dipelihara. Saya tengok masih banyak ruang untuk ditambah baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!