Jenayah yang menggemparkan negara
TAHUN 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara, termasuklah jenayah kejam yang meragut empat individu antaranya seorang kanak-kanak perempuan akibat perbuatan tidak kemanusiaan.
Pada masa sama, dunia media sosial turut dikejutkan dengan kematian tragis pempengaruh, A Rajeswary, 30, akibat tekanan buli siber sekali gus memperlihatkan ancaman senyap kehidupan digital yang semakin membimbangkan.
Selain itu, Sinar Ahad turut berkesempatan menyorot beberapa kes jenayah menggemparkan negara yang direkodkan sepanjang tahun ini:
27 Mac
- Lelaki Israel bersenjata ditahan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di Kuala Lumpur.
14 April
- Tembak isteri di KLIA
Seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya, sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
3 Mei
- Anggota polis peras ugut RM1.25 juta
PDRM menahan pegawai dan anggotanya melakukan pemerasan berjumlah RM1.25 juta di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
5 Mei
- Faisal Halim disimbah asid
Penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 yang berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
17 Mei
- Kejadian tembak di Ulu Tiram
Kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor mengakibatkan dua anggota polis maut.
28 Mei
- OKU ditumbuk pengawal pengiring
Seorang anggota pengawal pengiring didakwa memukul seorang pemandu e-panggilan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur.
31 Mei
- Ibu bapa Zayn ditahan semula
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kedua ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan ditahan semula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
4 Julai
- Pempengaruh Esha maut
Kes ugutan ke atas pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu, 30, atau digelar 'Esha' yang maut akibat perbuatan buli siber.
15 Julai
- Nur Farah Kartini dibunuh
Kes pembunuhan Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
20 Julai
- Albertine Leo diculik
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang dipercayai ketika bermain di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.
28 Julai
- Budak 12 tahun pandu kereta.
Tular video seorang kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta dan membawa dua adiknya di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor.
8 Ogos
- Remaja 14 tahun menyamar doktor.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor.
9 Ogos
- Anak bunuh tiga ahli keluarganya
Anak lelaki sulung pasangan warga emas dipercayai membunuh pasangan itu dan cucu mereka dalam satu kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Johor.
12 Ogos
Mayat sah Istiqomah
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember 2023 disahkan milik cikgu, Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi.
31 Ogos
- Tiga PGA ditahan samun di Semenyih
Polis menahan tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhubung kes rompakan di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir Semenyih, Selangor.
18 September
- Penahanan ahli kumpulan GISBH
Lima lelaki disyaki ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditahan dalam Op Global di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
18 September
- Kes 'counter setting' KLIA
Seramai 50 penguat kuasa iaitu 49 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta seorang sarjan polis wanita ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi operasi counter setting atau ‘kaunter laluan khas’ di pintu masuk negara.
21 Oktober
- Senior pijak pelatih guna but 'spike'
Penuntut Tahun Tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa memijak pelatih tahun satu, menggunakan kasut but 'spike' di padang kawad Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
29 Oktober
- Kes kartel baja
SPRM mulakan siasatan ke atas kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
4 November
- Skandal FashionValet
SPRM serbu empat lokasi di Kuala Lumpur berikutan skandal melibatkan pengasas platform e-dagang Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet).
6 Disember
- Penemuan jasad hampir reput.
Seorang wanita, Nurul Asikin Lan, 26, yang dilaporkan hilang dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang kawasan longkang di Samajaya, Tabuan Jaya, Kuching, Sarawak, manakala suspek dipercayai sempat lari ke Kemboja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!