Musim tengkujuh pesta takluk ombak

Peminat sukan luncur air tidak akan melepaskan peluang untuk bermain ombak sepanjang musim tengkujuh. Gambar kecil dari kiri: Siti Farahanim, Mohd Hasni, Muhammad Ariff
Peminat sukan luncur air tidak akan melepaskan peluang untuk bermain ombak sepanjang musim tengkujuh. Gambar kecil dari kiri: Siti Farahanim, Mohd Hasni, Muhammad Ariff
A
A
A

KUANTAN – Musim tengkujuh yang datang bersama angin kencang dan gulungan ombak tinggi amat bermakna buat penggemar aktiviti 'surfing' atau luncur air khususnya di pantai sekitar daerah ini.

Fenomena ombak besar pada musim ini diibaratkan pesta bagi mereka yang ingin menguji keberanian dan kemahiran menakluk gelombang.

Kelihatan peluncur wanita mempamerkan keberanian bermain ombak di Pantai Pelindung di sini. - Foto: Mr Taufik Idris
Kelihatan peluncur wanita mempamerkan keberanian bermain ombak di Pantai Pelindung di sini. - Foto: Mr Taufik Idris

Tinjauan Sinar Harian mendapati Pantai Pelindung dan Teluk Cempedak adalah antara lokasi tumpuan utama bagi komuniti peluncur air untuk menjinakkan ombak ganas di pantai tersebut.

Bagi peluncur, Siti Farahanim Mahayadi, 27, berkata, musim Monsun Timur Laut (MTL) adalah waktu yang terbaik untuk merasai pengalaman luar biasa menakluk ombak.

Siti Farahanim membawa papan luncur ke tengah laut bagi membolehkan bermain di atas ombak di Pantai Pelindung pada Ahad. Gambar kanan: Siti Farahanim bersama papan luncurnya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Pelindung pada Ahad.
Siti Farahanim membawa papan luncur ke tengah laut bagi membolehkan bermain di atas ombak di Pantai Pelindung pada Ahad. Gambar kanan: Siti Farahanim bersama papan luncurnya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Pelindung pada Ahad.

"Setiap pagi, kami akan memeriksa keadaan ombak. Jika ombak cukup besar dan sesuai untuk meluncur, barulah kami turun bermain.

"Namun, bagi orang awam, kami tidak menggalakkan mandi-manda ketika ini kerana ombak yang besar boleh membahayakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Pelindung pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dia yang sudah dua tahun terlibat dalam sukan ini berkata, aktiviti meluncur air memberikan pengalaman yang menyeronokkan selain menikmati kebebasan ketika berada di atas papan.

"Bila berada di atas papan luncur dan mengawal tubuh ke kiri atau ke kanan, rasa puas itu sukar untuk digambarkan.

"Walaupun penat, perasaan itu membuatkan saya mahu terus bermain," luahnya.

Siti Farahanim turut memaklumkan komuniti peluncur ini tidak hanya mencari hiburan, sebaliknya mereka mempraktikkan disiplin yang ketat.

"Kami sentiasa bermain secara berkumpulan dan tidak pernah meluncur sendirian.

"Kami juga hanya dibenarkan bermain di kawasan cetek, di mana kaki masih boleh menjejak tanah," tambahnya lagi.

Salah seorang peluncur sedang bermain ombak di Pantai Pelindung di sini. Foto Mr Taufik Idris
Salah seorang peluncur sedang bermain ombak di Pantai Pelindung di sini. Foto Mr Taufik Idris

Senada dengan itu, Mohd Hasni Mat Daud, 41, berkata, ombak besar adalah peluang terbaik bagi peluncur untuk merasai pengalaman yang lebih mendalam dalam sukan tersebut.

"Inilah masa yang sesuai untuk bermain surfing sebab hanya ada dua hingga tiga bulan sahaja, biasanya dari bulan 11 hingga Februari (tahun depan).

"Jadi, ia seperti 'hari raya' untuk kami, semua peluncur akan turun ke pantai, macam saya, kalau tidak hujan, saya bermain skateboard, tapi bila musim ini, surfing adalah pilihan utama," katanya yang bekerja sebagai tukang kayu.

Penggemar sukan luncur air menguji keberanian dan kemahiran menakluk gelombang setiap kali musim tengkujuh.
Penggemar sukan luncur air menguji keberanian dan kemahiran menakluk gelombang setiap kali musim tengkujuh.

Di sebalik keseronokan meluncur, Mohd Hasni berkata, terdapat cabaran besar yang perlu dihadapi oleh setiap peluncur iaitu perlu memahami arus bawah laut.

"Arus bawah ini boleh menarik kita ke dalam laut, menjunam dan dalam istilah surfing, kita sebut 'current'.

"Arus ini sangat berbahaya kerana ia boleh menarik kita jauh ke dalam dan kita perlu memahaminya," ujarnya.

Mengenai pengalaman berhadapan dengan gulungan ombak, Mohd Hasni menegaskan ketenangan adalah aspek yang sangat penting.

"Kita perlu tahu cara untuk melawan gulungan ombak dengan tenang dan jangan cepat panik.

"Jangan cuba melawan untuk keluar dari ombak dengan cepat, kerana ia hanya akan membuat kita cepat penat," katanya sambil menambah bahawa sukan ini adalah hobi dan ia memberikan kepuasan tersendiri.

Sementara itu, Muhammad Ariff Zakaria, 40, yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam sukan luncur ombak berkata, untuk bersahabat dengan ombak besar, perkara paling penting adalah memiliki pengetahuan asas tentang sukan luncur.

Menurutnya, pengetahuan mengenai kemahiran berenang dan pemahaman tentang arus laut sangat diperlukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Kita perlu tahu cara menyelamatkan diri dalam situasi cemas, kerana dalam keadaan seperti ini, rasa takut itu normal.

"Panik hanya akan membuatkan kita kehilangan kawalan dan sukar bertindak. Namun, jika kita takut, kita akan lebih berhati-hati," katanya.

Muhammad Ariff turut menegaskan betapa pentingnya memahami keadaan pasir dan pantai serta kekuatan ombak.

"Kita perlu tahu arah arus dan keadaan air supaya kita dapat mengukur potensi bahaya yang ada, selain dapat bertindak dengan lebih bijak," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!