Piala FA: Penyokong terkejut harga tiket luar biasa

Penyokong-penyokong The Lambs mengecam pendekatan pengurusan Tamworth dalam menetapkan harga tiket perlawanan Pusingan Ketiga Piala FA menentang Tottenham Hotspur pada 12 Januari depan. Foto: Agensi
Penyokong-penyokong The Lambs mengecam pendekatan pengurusan Tamworth dalam menetapkan harga tiket perlawanan Pusingan Ketiga Piala FA menentang Tottenham Hotspur pada 12 Januari depan. Foto: Agensi
A
A
A

KELAB Liga Kebangsaan, Tamworth diselar penyokong-penyokong selepas mengenakan harga tiket 'luar biasa' menjelang aksi Pusingan Ketiga Piala FA menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur.

The Lambs kendalian Andy Peaks yang berpangkalan di Tamworth, Staffordshire, England akan melayan kunjungan Tottenham, pemenang lapan edisi bermula 1901 dan kali terakhir 1991 bimbingan Ange Postecoglou di The Lamb Ground pada 12 Januari.

Perlawanan ibarat langit dengan bumi itu dijangka antara aksi yang paling menarik dalam pusingan tersebut juga disiarkan secara langsung.

Di sebalik kesiapsediaan The Lambs menanti kehadiran The Lilywhites, timbul perasan tidak puas hati penyokong-penyokong apabila mendakwa kelab itu cuba mengambil keuntungan dari aksi berkenaan.

Lamb Ground venue berkapasiti 4,963, merangkumi 518 tempat duduk mengenakan harga tiket dewasa 42 pound (RM236) untuk tempat duduk utama manakala 38 pound (RM213) teres.

Penyokong yang berusia lebih 66 tahun perlu membayar 37 pound (RM207) untuk tempat duduk utama, dengan tiket teres berharga 33 pound (RM185).

Remaja berusia bawah 17 tahun dikenakan bayaran 34 pound (RM191) untuk tempat duduk manakala 30 pound (RM168) teres.

Mereka yang berusia bawah 10 tahun perlu membayar 29 pound (RM162) untuk tempat duduk dan 25 pound (RM140) untuk teres.

Artikel Berkaitan:

Seorang penyokong menyatakan bahawa dia tidak akan menghadiri perlawanan itu kerana harga yang terlalu mahal.

“Saya sebelum ini beberapa kali telah menyaksikan perlawanan Tamworth, tetapi kali ini saya tidak mungkin ditipu,” katanya.

Seorang lagi penyokong menyifatkan harga tiket tersebut sebagai sesuatu yang memalukan buat penyokong-penyokong setia.

“Harga yang benar-benar amat memalukan. Sepatutnya mereka malu dengan diri sendiri.”

Satu lagi komen penyokong menyarankan kelab mengkaji semula kadar berkenaan: “ Anda harus mempertimbangkan semula dengan serius apa yang anda lakukan. Macam kelakar.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!