Berang sering diejek 'anak haram', pemuda bunuh rakan
JAKARTA - Berang sering diejek dengan panggilan 'anak haram', seorang lelaki bertindak membunuh rakannya itu dalam kejadian pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Asahan AKBP Afdhal Junaidi, kejadian pada jam 2 petang waktu tempatan itu berlaku di sebuah warung makanan di Kecamatan Kisaran Barat, Kabupaten Asahan, Sumatera Utara.
Katanya, suspek dikenali RS, 21, membunuh T,40, menggunakan sebatang kayu sepanjang 50 sentimeter dengan cara memukul di bahagian kepala dan bahagian muka mangsa.
"Kejadian bermula dengan RS menunggu T di warung berkenaan, selepas T tiba di lokasi RS langsung mengambil kayu dan menyerang mangsa.
"Mangsa mengalami kecederaan dibawa ke hospital, bagaimanapun meninggal dunia sebelum sampai ke Hospital H. Abdul Manan Simatupang," katanya kepada wartawan pada Khamis lalu.
Suspek cuba melarikan diri selepas kejadian berkenaan tetapi berjaya ditahan pada hari yang sama.
Dalam pada itu, menurut Afdhal lagi, hasil siasatan terhadap RS berkenaan motif pembunuhan, suspek mengakui bahawa dia kerap diejek sebagai anak haram oleh mangsa.
"Jadi motifnya adalah kerana dendam dan sakit hati kerana rasa sering dihina," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!