Jika ritual selain zikir boleh bawa kepada bidaah

Tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik, kuat dan duduk mengelilingi pusara di sebuah kawasan perkuburan.Gambar kecil: Mohd Sukki
Tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik, kuat dan duduk mengelilingi pusara di sebuah kawasan perkuburan.Gambar kecil: Mohd Sukki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] "Jika ritual selain zikir boleh membawa kepada bidaah," Demikian penjelasan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Beliau berkata, perbuatan berzikir dengan suara yang kuat di tanah perkuburan juga tidak disyorkan kerana dibimbangi mengganggu ketenteraman awam.

Menurut beliau, sekiranya ditelusuri tentang adab berada di kawasan perkuburan, berzikir sememangnya digalakkan, tetapi perlu dilihat tujuan asal, misalnya mendoakan kebaikan si mati.

"Kalau masuk kawasan kubur pun kita perlu beri salam, tetapi jika berzikir dengan suara yang kuat di tanah perkuburan tak sesuai kerana boleh mengganggu suasana khusyuk dan ketenangan.

"Umum mengetahui, kubur adalah tempat kita mengingati kematian dan menginsafi diri, tak sepatutnya ia menjadi lokasi untuk buat bunyi bising atau tinggi suara. Kalau zikir kuat-kuat bertujuan mendidik tiada masalah.

"Tindakan sebegitu boleh mencemar adab di tanah perkuburan dan dikhuatiri menjurus kepada amalan bidaah walaupun kita tak tahu apa yang mereka baca, bimbang ada ritual pemujaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Sukki berkata demikian merujuk kepada tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik, kuat dan duduk mengelilingi pusara di sebuah kawasan perkuburan.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan secepat mungkin dan mengesan individu terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya kubur tempat untuk kita fokus berdoa dan berzikir dengan senyap, apatah lagi kalau betul amalan bidaah sebegini berlaku, kita perlu hindari.

"Setakat ini, kita tak dapat pastikan kerana polis sedang siasat, adakah betul ia menjurus kepada perbuatan yang mungkin bukan zikir, tetapi perkara lain,” ujar beliau.

INFO

Antara ajaran pelik, sesat yang berlaku di Malaysia:

1) Ayah Pin

Ayah Pin mendakwa dirinya sebagai pemimpin kerajaan langit dan utusan Tuhan. Pengikut juga mengagungkan dan mengikuti setiap arahannya tanpa soal.

2) Tuhan Harun

Ajaran Tuhan Harun meminta pengikutnya membayar sejumlah wang sebagai jaminan masuk syurga.

3) Nasrul Haq

Ajaran Nasrul Haq mendakwa pemimpin mereka boleh menyembuhkan penyakit menggunakan kuasa batin atau doa khusus.

4) Al Zaytun

Artis terkenal Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan, terdapat ramai rakyat Malaysia hadir pada majlis yang mencetuskan kontroversi iaitu saf solat sunat Aidilfitri dalam keadaan jarak selain bercampur antara jemaah lelaki dan wanita.

5) Al-Arqam

Ajaran Al-Arqam mempercayai bahawa pengasasnya, Ashaari Muhammad akan diangkat sebagai Imam Mahdi yang akan membawa kebangkitan Islam di dunia.

6) Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau

Ritual utama Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau adalah zikir secara berkumpulan sering dilakukan di kawasan terpencil seperti hutan, gua atau kawasan yang jauh dari masyarakat. Nama ‘Hassan Anak Rimau’ turut disebut berulang kali sebagai penghormatan dan pemujaan.

7) Nordin Puteh

Nordin Puteh dipuja sebagai ‘wakil Tuhan’ di dunia, dan pengikut diarahkan menunjukkan ketaatan mutlak kepadanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!