Segera atasi masalah kekurangan pemandu bas

Kini kekurangan 5,000 pemandu khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran. Gambar hiasan.
Kini kekurangan 5,000 pemandu khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran. Gambar hiasan.
A
A
A

PERKHIDMATAN bas ekspres dan persiaran memainkan peranan penting dalam industri pengangkutan awam negara.

Namun, mutakhir ini masalah kekurangan pemandu bas semakin kritikal sehingga boleh mengancam keselamatan dan kelangsungan perkhidmatan tersebut.

Menurut Presiden Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, industri itu kini kekurangan 5,000 pemandu khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran.

Masalah tersebut menyebabkan ada syarikat gagal menyediakan pemandu kedua, seterusnya merisikokan nyawa penumpang untuk perjalanan jarak jauh.

Di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715), syarikat pengusaha bas ekspres wajib menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer atau empat jam berterusan.

Meskipun ramai berminat mahu menceburi bidang tersebut, kos tinggi antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi mendapatkan lesen memandu kelas E dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) menjadi penghalang.

Mengambil kira peranan pemandu kedua amat penting dalam isu keselamatan, amatlah wajar kerajaan meneliti semula struktur kos lesen berkenaan.

Jika kita boleh memberikan subsidi kepada sektor-sektor lain, mengapa tidak untuk sektor pengangkutan awam?

Artikel Berkaitan:

Subsidi atau insentif itu dapat mengurangkan beban calon pemandu, malah membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai individu yang layak.

Kerajaan juga wajar mempertimbangkan saranan PMBOA dalam memberikan latihan kemahiran percuma kepada golongan B40 untuk mendapatkan lesen berkaitan.

Kos itu boleh ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan atau melalui kerjasama dengan syarikat bas.

Inisiatif seperti itu boleh melahirkan lebih ramai pemandu berlesen, sekali gus membantu menyelesaikan isu pokok tadi iaitu kekurangan pemandu bas.

Kerajaan juga mungkin boleh menetapkan insentif cukai kepada syarikat bas yang melabur dalam melatih dan menyediakan lesen kepada bakal pemandu.

Idea seperti itu akan menggalakkan syarikat mengambil tanggungjawab lebih besar bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan mereka sendiri.

Keselamatan penumpang perlu menjadi keutamaan tetapi menghukum syarikat bas dengan menarik permit misalnya, tidak akan membawa perubahan diharapkan.

Perlu diingat, pengangkutan awam adalah nadi kehidupan rakyat.

Sebarang usaha untuk memperbaiki sektor tersebut adalah pelaburan untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat seluruhnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!