Hapuskan keraguan Titah Adendum

Najib perlu membuat permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Najib perlu membuat permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan semula permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah akan menghapuskan keraguan ditimbulkan pelbagai pihak berkaitan kewujudan Titah Adendum sebelum ini.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, keputusan permohonan baharu tersebut akan dibuat oleh Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Wan Ahmad Fauzi
Wan Ahmad Fauzi

“Jika perkara ini diserah untuk diputuskan Yang di-Pertuan Agong sekarang, maka pertikaian mengenai kewujudan atau perincian Titah Adendum ini akan lebih harmonis diselesaikan kerana ia libatkan Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

“Jadi ada ‘manisnya’ sekiranya Yang di-Pertuan Agong yang baharu putuskan kerana keputusan untuk legakan hukuman ini sendiri adalah ‘mercy’ atau belas kasihan.

"Oleh itu dari sudut kesopanan dan adab, biarlah keputusan ini diberikan dalam keadaan sempurna (tiada pertikaian) serta tiada mana-mana pihak dipandang serong atau perkara ini terus dipolemikkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Justeru, mana-mana pihak termasuk Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi menyarankan supaya Najib menarik balik rayuannya di mahkamah mengenai kewujudan Titah Adendum dan segera mengemukakan permohonan baharu kepada Sultan Ibrahim.

“Bagi saya selari dengan kenyataan yang dikeluarkan AGC ada baiknya isu Titah Adendum ini dinoktahkan secara bijaksana kerana tidak manis nama Yang di-Pertuan Agong yang lalu dipolemikkan.

“Bila AGC sudah nyatakan permohonan baharu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, ada baiknya syor itu disambut melalui proses yang sedemikian. Yang penting masih ada peluang untuk diberikan pertimbangan,” ujarnya.

Menurutnya, permohonan itu akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan dan AGC perlu menyediakan pandangan undang-undang dan lain-lain aspek terhadap isu berbangkit kepada ahli Lembaga Pengampunan.

“Lepas meneliti pandangan AGC berkenaan barulah mereka menyembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!