Kurangkan risiko nahas kenderaan berat
KEJADIAN kemalangan ngeri mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Ayer Keroh, Melaka pada Isnin lalu begitu menyayat hati.
Siasatan awal mendapati insiden tersebut berpunca daripada tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton tercabut dan berada di tengah lebuh raya.
Hanya disebabkan sebiji tayar tercabut, ia mengakibatkan nahas yang melibatkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Hanya kerana sebiji tayar menyebabkan nyawa insan tidak berdosa melayang.
Sudah acap kali insiden melibatkan kenderaan berat di jalan raya yang mengakibatkan kemalangan dilaporkan media. Berulang dan terus berulang.
Pelbagai pihak menuntut pihak penguat kuasa melakukan pemeriksaan lebih kerap terhadap kenderaan berat terutama melibatkan aspek keselamatan kenderaan itu sendiri.
Ia pastinya melibatkan perkara utama iaitu keupayaan brek untuk berfungsi dengan baik dan sempurna serta tayar yang tidak botak.
Malah, kenderaan perdagangan juga diminta untuk mematuhi tahap ketetapan berat dibenarkan dan telah diluluskan pihak berkuasa bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
Berhubung kejadian kemalangan di Ayer Keroh, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli menyatakan bahawa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan terperinci dan audit keselamatan terhadap syarikat kenderaan terlibat.
Seakan belum reda dengan kejadian ngeri di Melaka, satu lagi kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku pada Rabu.
Ia melibatkan kemalangan sebuah lori tangki terbalik di Kilometer 28 Lebuhraya Karak dekat Genting Sempah yang dipercayai kerana mengalami masalah brek.
Namun, kejadian tersebut tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan pemandu lori juga terselamat.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, brek kenderaan mengalami masalah dan gagal berfungsi menyebabkan hilang kawalan sehingga terbabas.
Sekali lagi isu utama keselamatan kenderaan berat iaitu brek menjadi punca kejadian kemalangan tersebut berlaku.
Terdapat beberapa perkara dikenal pasti sebagai penyebab bagaimana tayar kenderaan berat boleh tercabut semasa bergerak.
Pertama, kerana kurang aktiviti penyelenggaraan ke atas tayar digunakan oleh kenderaan berat.
Perkara itu berlaku sama ada disebabkan kecuaian pihak syarikat yang tidak mahu membuat penyelenggaraan atau disebabkan mahu menjimatkan kos.
Perkara kedua yang boleh menyebabkan sesebuah tayar kenderaan berat boleh tercabut semasa digunakan disebabkan faktor bebanan berlebihan.
Untuk berjimat dan mahu mendapatkan keuntungan, ada pihak syarikat sanggup mengetepikan aspek keselamatan dengan membawa barangan berlebihan.
Muatan melebihi tahap yang dibenarkan menyebabkan berlaku tekanan dan bebanan berlebihan kepada tayar.
Apabila perkara seumpama itu berlaku, ia juga menyebabkan kegagalan atau ke-rosakan kepada komponen lain seperti bearing roda.
Selain itu, tayar yang sudah usang atau rosak masih digunakan akan menyebabkan tayar boleh tercabut. Kelalaian semasa melakukan servis juga boleh menjadi punca.
Pihak media banyak melaporkan kejadian kemalangan maut berlaku akibat tayar pecah. Ia punca utama yang harus ditangani sebaik-baiknya oleh pihak syarikat yang mengendalikan kenderaan berat.
Pihak syarikat seharusnya lebih bertanggungjawab bagi memastikan sistem brek dan tayar berada dalam keadaan terbaik.
Pada masa sama, jangan culas melakukan pemeriksaan berkala dengan pihak berkuasa bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.
Jangan fikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih fokus terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sekiranya berlaku kemalangan ngeri dan meragut banyak nyawa tidak berdosa, pihak syarikat juga akan berdepan masalah besar.
Sementara itu, ada juga pihak menyarankan agar pihak kerajaan memantau dengan teliti kemasukan tayar import ke Malaysia terutamanya dari China.
Pastikan tayar mempunyai kualiti dan menepati kualiti standard ditetapkan.
Semoga pelbagai langkah dan penambahbaikan yang diambil akan dapat membantu meningkatkan keselamatan kenderaan berat, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan disebabkan oleh masalah tayar.
*Hisyamuddin Ayub ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!