Pengkelasan tambang tempat duduk bantu pengusaha bas ekspres bertahan
KOTA BHARU - Kadar tambang bas berdasarkan pengkelasan kelas ekonomi dan eksekutif yang tepat boleh membantu pengusaha bas ekspres bertahan walaupun berlaku kenaikan kos lain dalam industri itu.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berpendapat, kenaikan tambang sebenarnya tidak diperlukan jika pengkelasan itu dilaksanakan.
Beliau memberitahu, pihaknya sudah memohon kerajaan menetapkan perbezaan tambang antara kelas ekonomi dan eksekutif berdasarkan tempat duduk bas.
"Pengkelasan sekarang ialah tempat duduk lebih dari 48 akan dikelaskan sebagai ekonomi manakala tempat duduk di bawah 48 dikategorikan sebagai kelas eksekutif," katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Kesyukuran Sempena Keluaran Bas Baharu Ekspres Perdana pada Isnin.
Beliau mendakwa, pengkelasan itu tidak tepat sehingga ada pengusaha bas yang terpaksa menanggung kerugian berikutan persaingan tidak sihat.
Laili yang juga bekas Yang Dipertua Pembawa memberitahu, persatuan itu sudah menghantar memorandum pada
pertengahan tahun ini tetapi masih menunggu tindakan lanjut daripada Agensi Pengangkutan Awan Darat (APAD).
Jelasnya lagi, mereka menggesa pelaksanaan ketetapan itu bagi mengelakkan ada pengusaha mengambil kesempatan.
"Kita mahu keseragaman harga untuk kebaikan penumpang dan pengusaha bas kerana ada di antaranya yang mengenakan tambang ekonomi untuk tempat duduk melebihi 48 dengan 2 1," katanya.
Pada masa sama Laili berkata, harga tambang ekonomi yang dicadangkan ialah RM45 manakala sekitar RM70 untuk kelas eksekutif bagi perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Jelasnya, kadar tambang itu munasabah berdasarkan kos kira-kira RM1,600 untuk satu perjalanan termasuk penyelenggaraan, diesel, gaji pemandu dan tol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!