75 kes tidak patuhi SHMMP Krismas 2024
PUTRAJAYA - Sebanyak 74 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga dikesan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 (SHMMP) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kes berkenaan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM8,600 bagi tempoh lima hari pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 bermula 23 hingga 27 Disember lepas.
"Tindakan undang-undang telah dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi sepenuhnya perundangan ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, sebanyak 2,748 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi premis runcit, borong dan pengeluar.
"Tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan dikesan sepanjang tempoh tersebut," jelas Azman.
Sebanyak 14 barangan diletakkan di bawah SHMMP Krismas 2024 yang meliputi ayam tua hidup (Sarawak), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang).
Penguatkuasaan kawalan harga maksimum turut dilakukan terhadap kepak ayam, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan sahaja.
Dalam pada itu, Azman memaklumkan kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan skim terbabit.
"Majoriti peniaga diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.
"Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!