Pihak tularkan Whatsapp dakwa polis enggan terima laporan diminta tampil bantu siasatan

Tangkap layar Whatsapp dakwaan Polis Bentong enggan menerima laporan berhubung perselisihan faham antara penghantar barang dan pelanggan hingga menyebabkan kecederaaan yang tular di media sosial.
Tangkap layar Whatsapp dakwaan Polis Bentong enggan menerima laporan berhubung perselisihan faham antara penghantar barang dan pelanggan hingga menyebabkan kecederaaan yang tular di media sosial.
A
A
A

BENTONG - Satu laporan polis telah dibuat susulan penyebaran imej tangkap layar Whatsapp dakwaan Polis Bentong enggan menerima laporan berhubung perselisihan faham antara penghantar barang dan pelanggan hingga menyebabkan kecederaan yang berlaku pada 24 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan itu dibuat seorang penolong pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong jam 3.01 petang pada Ahad.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis Bentong minta pihak yang menularkan kandungan Whatsapp itu agar tampil ke IPD Bentong bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menjelaskan mengenai dakwaan itu, Zaiham berkata, pihaknya menyedari imej tangkap layar Whatsapp yang tular itu pada jam 1.30 tengah hari Ahad.

"Semakan mendapati, kejadian berlaku di tempat letak kereta di sebuah pusat peranginan di Janda Baik di sini kira-kira jam 3.30 petang 24 Disember lalu.

"Berdasarkan kandungan yang tular itu, seorang penghantar barang telah ditikam di mata oleh pelanggan dan mangsa telah ke Pondok Polis Janda Baik, Balai Polis Bukit Tinggi IPD Bentong untuk membuat laporan namun dakwanya polis enggan menerima laporan tersebut.

"Kita dapati dakwaan itu tidak benar kerana polis telah menerima laporan daripada mangsa jam 4.30 petang hari yang sama berhubung kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zaiham berkata, mangsa juga telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan sesuatu yang tidak benar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!