Pemuda redah banjir demi solat berjemaah sebak terima jemputan umrah percuma

Md Daud (tiga, kanan) beramah mesra dengan peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan sebelum mereka berangkat ke tanah suci.
Md Daud (tiga, kanan) beramah mesra dengan peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan sebelum mereka berangkat ke tanah suci.
A
A
A

SEPANG - Pengorbanan seorang pemuda yang sanggup meredah banjir sejauh dua kilometer bagi memastikan dia tidak ketinggalan menunaikan solat berjemaah membawa tuah apabila menerima jemputan ke tanah suci melalui Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin.

Ikhwan Hakimi Roslan, 20, dari Kampung Limbat, Kota Bharu merupakan antara 65 individu bertuah yang menerima jemputan itu mengakui sebak dan bersyukur selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Ikhwan Hakimi
Ikhwan Hakimi

Menurut pelajar Maahad Tahfiz Pubimas, Pengkalan Chepa itu, dia sebelum itu menyertai satu program yang memerlukan mereka hadir ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah selama 30 hari berturut-turut bermula 10 November hingga 10 Disember lepas.

"Kebetulan pada penghujung program, Kelantan dilanda banjir. Boleh dikatakan semua kawasan dari rumah saya menuju ke masjid dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.

"Walaupun begitu saya sanggup meredah banjir dengan motosikal untuk memastikan tidak ketinggalan menunaikan solat berjemaah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin.

Ikhwan Hakimi memberitahu, dia mengetahui tentang program itu melalui abang kelimanya dan dari situ dia mula memasang angan-angan untuk menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia bersyukur berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan dan sehingga sekarang masih tidak percaya akan melihat Kaabah di depan mata.

Nik Murni
Nik Murni

Bagi Nik Murni Shaifudin, 25, dari Kampung Kemasin, Bachok pula, kenangan plat keretanya hilang dihanyutkan air ketika meredah banjir untuk ke masjid menjadi antara perkara yang tidak dapat dilupakan.

"Pada penghujung program sangat mencabar kerana ketika itu Kelantan sedang dilanda banjir teruk.

"Boleh dikatakan semua kawasan dinaiki air sehingga saya hampir berputus asa untuk menggenapkan 30 hari, namun membayangkan Makkah dan Madinah, semua halangan itu dapat diatasi," katanya.

Menurut bakal guru itu, sebelum menyertai program tersebut, dia pernah bermimpi menjejakkan kaki ke tanah suci dan tidak menyangka ia bakal menjadi kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, seramai 65 anak muda terdiri daripada 29 perempuan dan 36 lelaki telah dipilih mengikuti Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Kumpulan pertama peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin sebelum berlepas ke tanah suci.
Kumpulan pertama peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin sebelum berlepas ke tanah suci.

Ujar beliau, mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun itu adalah bujang, tidak pernah menunaikan umrah dan telah lulus dengan jayanya solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin selama 30 hari tanpa gagal iaitu 90 waktu melibatkan solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Menurutnya, objektif program itu adalah untuk menarik minat golongan muda yang berasal dari Kelantan mengimarahkan masjid sekali gus membentuk mereka dalam mendalami asas kerohanian serta ilmu fardu ain sebelum ke tanah suci.

"Hari ini (Ahad) merupakan penerbangan bagi kumpulan pertama, yang mana kami berbesar hati menawarkan tajaan pakej umrah percuma kepada 200 anak muda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!