'Becoming Hannah': Srikandi, Armada Tanjung Karang buat laporan polis
SHAH ALAM - Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Karang membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Karang pada Ahad.
Ketua Armadanya, Muhammad Khairulamirin Mohamad Lizam berkata, laporan dibuat berikutan kenyataan dan tindakan Hannah Yeoh dianggap melanggar undang-undang serta norma masyarakat Malaysia yang berbilang agama.
'Buku beliau bertajuk 'Becoming Hannah: A Personal Journey' yang memuatkan unsur-unsur dakwah Kristian secara tersirat dan secara terang-terangan menggalakkan ideologi Kristian Evangelis termasuk kepada masyarakat bukan Kristian.
"Buku tersebut didapati mengandungi kenyataan boleh dianggap bertentangan dengan undang-undang serta norma masyarakat seperti Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 – Menggalakkan pengembangan agama Kristian kepada penganut agama Islam," ujarnya.
Beliau menambah, kenyataan dalam buku tersebut termasuk misi Hannah Yeoh sebagai 'ambassador of God' dan menggunakan jawatan politik untuk menyampaikan ajaran Kristian secara meluas, termasuk kepada golongan muda serta pemimpin dunia, juga dilihat bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Jelasnya, sebagai sebuah negara berbilang agama, tindakan mencetuskan ketegangan antara agama perlu dicegah.
"Pihak polis diminta menyiasat kandungan buku 'Becoming Hannah' atas dakwaan melanggar undang-undang Malaysia berkaitan penyebaran agama dan mengambil tindakan undang-undang terhadap annah Yeoh dan pihak penerbit buku tersebut," ujarnya.
Beliau menambah, ini bagi memastikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dihormati oleh semua pihak.
"Kami juga mendesak Hannah Yeoh untuk mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Segambut demi memelihara keharmonian antara agama di Malaysia.
"Kenyataan ini dikeluarkan untuk melindungi keamanan dan kestabilan negara, sejajar dengan prinsip undang-undang dan nilai-nilai perpaduan masyarakat Malaysia," ujarnya lagi.
Tegasnya, sehubungan itu, semua pihak diingatkan agar menghormati sensitiviti agama dan etnik demi kesejahteraan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!