Wanita mengaku salah bakar motosikal
TAIPING - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Isnin atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar sebuah motosikal, minggu lalu.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, yang bekerja sebagai penjual pisang goreng membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Nabisha bagaimanapun menetapkan tarikh 14 Januari depan untuk hukuman sementara menunggu fakta kes.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api menyebabkan kerosakan kepada sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam bernilai RM7,000 milik seorang wanita.
Kesalahan dilakukan di Jalan Masjid Pokok Assam, Taiping jam lebih kurang 3.50 petang pada 26 Disember 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 sebagai pengajaran selain syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu bagi kes itu sehingga kes selesai.
Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya, memaklumkan dia menyesal dengan perbuatannya dan memohon jaminan dikurangkan atas alasan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dan menyara anak serta suami yang strok sebelah badan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang diminta pendakwaan.
Tertuduh ditahan polis pada hari sama kejadian selepas menerima laporan dibuat seorang lelaki.
Siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas wanita berkenaan tidak berpuas hati motosikal terbabit mahu ditarik akibat bayaran ansuran yang tertunggak selama 20 bulan.
Kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan tindakan tertuduh menyimbah cecair disyaki petrol ke atas motosikal lalu membakarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!