Pasukan penyiasat mohon waran tangkap terhadap Presiden Suk Yeol

Yoon Suk Yeol
Yoon Suk Yeol
A
A
A

SEOUL - Pasukan penyiasat pada Isnin memohon waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol berhubung pelaksanaan undang-undang tentera yang singkat, menjadikannya presiden Korea Selatan pertama yang berdepan penahanan, lapor agensi berita Yonhap.

Pasukan itu memohon waran atas tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa selepas Suk Yeol mengabaikan tiga panggilan untuk hadir sesi soal siasat.

Permohonan difailkan di Mahkamah Daerah Barat Seoul pada tengah malam Ahad, menurut pasukan penyiasat yang terdiri daripada Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO), polis, dan unit siasatan kementerian pertahanan.

Penyiasat mendakwa Suk Yeol mengetuai pemberontakan dan menyalahgunakan kuasanya apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember dan didakwa mengarahkan tentera ke Dewan Perhimpunan Kebangsaan untuk menghalang Ahli Parlimen daripada membatalkan dekri itu.

Suk Yeol menafikan tuduhan itu dan berkata bahawa pengisytiharan undang-undang tentera itu adalah satu tindakan pemerintahan untuk memberi amaran kepada parti pembangkang terhadap apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa perundangan.

Yun Gap-geun, seorang daripada wakil peguam Suk Yeol berjanji akan mengambil langkah formal sebagai tindak balas.

"Ia adalah permohonan oleh agensi yang tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat (tuduhan pemberontakan)," katanya kepada agensi berita Yonhap, merujuk kepada CIO. - Bernama-Yonhap

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!