Isu tarif elektrik: Kerajaan digesa jelas tindakan TNB

Dominic Lau (tengah)
Dominic Lau (tengah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa secara sendiri mengumumkan kenaikan tarif elektrik tanpa mendapat kelulusan kerajaan sebelum melaporkannya kepada Bursa Malaysia sebagai 'maklumat palsu'.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, menurut pemahamannya, dokumen dikemukakan TNB kepada Bursa Malaysia menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan pelarasan tarif asas untuk tempoh Pengawalseliaan Keempat (RP4) 2025 hingga 2027 kepada 45.62 sen per kWh.

Menurutnya, TNB juga mencadangkan agar tarif asas baharu itu dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.

"Namun, pada 27 bulan ini, TNB menjelaskan bahawa kerajaan setakat ini belum memutuskan sama ada tarif elektrik untuk separuh kedua 2025 akan dinaikkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau sehubungan itu mengkritik kerajaan sebagai 'kerajaan penuh kekeliruan dan tidak cekap', memandangkan sebelum ini syarikat insurans telah mengumumkan kenaikan premium insurans perubatan tanpa kelulusan Bank Negara Malaysia dan kini berlaku pula isu TNB melaporkan kepada Bursa Malaysia tentang kenaikan tarif elektrik tanpa kelulusan kerajaan.

"Dua insiden ini menimbulkan persoalan tentang kredibiliti kerajaan.

“Jika maklumat yang dilaporkan oleh TNB kepada Bursa Malaysia adalah palsu, ini bermakna ia adalah maklumat yang mengelirukan, kerana setelah maklumat ini dikeluarkan, saham TNB meningkat.

"Ini merupakan tindakan yang mempunyai elemen penipuan. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak boleh berdiam diri dan mesti menjalankan siasatan menyeluruh untuk memperjelas fakta,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dominic Lau turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak meminta pihak berkuasa untuk terus menyiasat.

"Tindakan ini seolah-olah memberi lampu hijau kepada perbuatan TNB. Jika benar kerajaan pusat tidak meluluskan cadangan TNB ini, adakah TNB begitu berani untuk menipu Bursa Malaysia?

Ujarnya, kerajaan sebelum ini telah 'memaafkan' syarikat insurans.

"Jika kali ini TNB juga dibiarkan begitu sahaja, adakah syarikat-syarikat tersenarai lain akan mengikut jejak langkah yang sama?

"Mereka mungkin melaporkan maklumat yang menguntungkan syarikat untuk meningkatkan harga saham, kemudian mengumumkan bahawa maklumat tersebut belum dimuktamadkan.

"Bukankah ini akan mengganggu pasaran dan mencetuskan kekacauan," soalnya lagi.

Beliau berkata, untuk mempertahankan kredibiliti dan imej kerajaan, tindakan mesti diambil dan kesalahan harus dihukum.

"Jika syarikat tersenarai boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan maklumat, pasaran akhirnya akan musnah dan rakyat akan hilang kepercayaan” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!