Kenyataan bekas pegawai Hannah cuba alih tumpuan
SHAH ALAM - Kecaman terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau lebih spesifik Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin oleh bekas pegawai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hanya adalah percubaan untuk mengalih tumpuan daripada isu sebenar.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, Hannah perlu sedar keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan saman malu terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bukan sahaja membuktikan kenyataan ingin ‘mengkristiankan Malaysia’ itu bukan fitnah tetapi satu fakta yang dipetik daripada buku 'Becoming Hannah'.
Menurutnya, jelas bahawa mengkristiankan Malaysia adalah agenda Hannah sebagai seorang ahli politik yang sekarang ini adalah anggota jemaah Menteri seperti tertulis di dalam buku tersebut.
"Keputusan Yang Arif Hakim tidak ada sangkut paut dengan Bersatu mahupun Ketua Srikandi. Sebagai Parti Pribumi yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air tentunya isu ini adalah satu perkara yang akan ditentang habis-habisan.
"Tidak ada kompromi soal agama seperti yang tertulis dalam Perlembagaan Perkara 3. Sebagai ahli Parlimen dan ahli jemaah Menteri, Hannah telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia termasuk Islam adalah agama Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Harris Idaham, Armada memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia menyiasat niat dan agenda di sebalik kenyataan Hannah yang telah diputuskan adalah tidak fitnah dan benar.
Jelas beliau, pihak pendakwa raya juga harus menujukan keberanian mendakwa ahli jemaah Menteri dan bukan sahaja pemimpin pembangkang.
"Armada juga menggesa Perdana Menteri memberhentikan khidmat Hannah sebagai Menteri sehingga kes ini selesai disiasat dan dibicarakan.
"Akhir sekali, selepas kenyataan tersebut diputuskan sebagai bukan satu fitnah, Armada ingin bertanya kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke adakah 'mengkristiankan Malaysia' adalah agenda tersirat parti tersebut kerana Hannah tidak akan memperjuangkan satu perkara yang bertentangan dengan pendirian parti,"ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!