Malaysia sedia galas tanggungjawab rintis kebangkitan ASEAN
PUTRAJAYA - Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN dan membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum serta mampan menjelang tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, Malaysia melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama.
"Alhamdulillah, rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat, melonjak pelaburan dan eksport negara serta menjulang negara di persada dunia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Menurutnya, Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati selain turut menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan memperjuangkan isu global.
Ia terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 selepas empat kali sebelum ini pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi Januari, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Acara lain yang berkaitan termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, pada bulan Oktober.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!