Pengarah syarikat produk berasas durian didakwa pecah amanah RM195,401

Pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd didakwa atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas. Foto Bernama
Pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd didakwa atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat menjual produk berasaskan durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas.

Datuk John Lee Siew Neng, 59, didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat, telah mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di premis berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul di sini antara 24 Februari hingga 25 Ogos 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Siew Neng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas. Foto Bernama
Siew Neng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas. Foto Bernama

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Siew Neng diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Februari tahun depan untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!