Lari SJR, pandu lawan arus, pekerja kedai makan dipenjara 10 hari
JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kedai makan dipenjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Isnin atas tuduhan memandu kereta secara melulu dan berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam hingga Jalan Lembing 1 di sini, pada Jumaat.
Muhammad Syafiq Jefri, 38, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Norfarhana Mohd Ishak setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu Proton Saga secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi melawan arus serta tidak berhenti di lampu isyarat merah dan persimpangan.
Tertuduh turut melakukan aksi berbahaya 'zig zag' selain membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akta (333/87) dan dihukum di bawah peruntukan yang sama akta tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengemukakan rayuan agar mahkamah mengurangkan hukuman kerana dia baru bekerja manakala isterinya baru mengandung dan ibunya sakit.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dipenjara selama 10 hari bermula tarikh sabitan.
Tertuduh juga didenda RM10,000 dan jika gagal dijelaskan boleh dipenjara selama tujuh bulan.
Selain itu, mahkamah juga menetapkan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!