Angkatan Muda Keadilan Kelantan desak Akmal mohon maaf
KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan Kelantan mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan dangkal berhubung pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri Kelantan, Ezzat Hanuzi berkata, Akmal juga perlu menghadap Sultan Muhammad V bagi memohon ampun susulan perkara terbabit sudah selesai dan diputuskan secara sah oleh Lembaga Pengampunan serta Mahkamah Persekutuan.
Menurut beliau, rayuan pengampunan penuh Anwar sebelum menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri itu dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-51 pada 16 Mei 2018 mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan tersebut mendapat perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Sultan Muhammad V juga Sultan Kelantan dan dijalankan dengan telus serta mematuhi semua prosedur perundangan.
“Sebagai pemimpin muda dan ahli sebuah parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan, Akmal seharusnya menunjukkan rasa hormat, setia kawan dan bukan membuat kenyataan tidak berasas hingga mencerminkan sikap tidak matang bahkan mencemar semangat kerjasama serta perpaduan diusahakan bersama,” katanya pada sidang akhbar di sebuah kafe di sini.
Ezzat berkata, AMK Kelantan juga menasihatkan Akmal untuk menghormati proses-proses sah yang sudah berjalan dan tidak menimbulkan kekeliruan awam terhadap keputusan oleh badan kehakiman tertinggi negara itu.
“Sebagai seorang ahli politik, beliau perlu bertanggungjawab memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara, bukannya merosakkan kepercayaan tersebut dengan kenyataan yang tidak berasas.
“Kami mendesak Akmal untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini dan menghadap Sultan Kelantan untuk memohon ampun atas kecuaiannya dalam membuat kenyataan yang boleh dianggap menghina proses perundangan negara,” katanya.
Tegas beliau, semangat perpaduan dalam kerajaan perlu dihormati dan mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti.
“AMK Kelantan menyeru semua pihak untuk terus menghormati Perlembagaan, institusi diraja dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia memerlukan pemimpin yang berintegriti dan berwawasan, bukan yang menimbulkan kekeliruan atau ketegangan tanpa sebab kukuh,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperoleh Perdana Menteri itu dan sejauh mana proses tersebut dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!