Ikrar kacang, beras Basmathi rupanya seludup beras dari Pakistan
PELABUHAN KLANG - Taktik sindiket mengikrar beras yang diseludup dari Pakistan sebagai kacang serta beras Basmathi terbongkar susulan rampasan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini, Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit II ini berdasarkan hasil maklumat dan risikan yang diperolehi pihaknya.
"Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 18,500 kilogram beras dengan nilai berjumlah RM121,000 dan duti serta cukai berjumlah RM48,400.
"Semakan dijalankan mendapati beras yang diseludup ini diikrarkan sebagai kacang gajus dan beras Basmathi dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Isnin.
Menurutnya, siasatan mendapati beras yang diseludup itu diimport dari Pakistan ke negara ini tanpa sebarang permit.
"Siasatan lanjut serta usaha mengesan pihak yang terlibat dalam kegiatan ini sedang giat dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, Norlela berkata, pihaknya berjaya merampas 13 kontena mengandungi 300,000 kilogram e-waste dipercayai dari Eropah di lokasi sama pada September lalu.
Jelasnya, kesemua e-waste bernilai RM1.65 juta itu ditemukan dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.
"Siasatan awal mendapati e-waste terbabit diseludup ke negara ini tanpa sebarang dokumen kelulusan.
"E-waste dikategorikan sebagai bahan buangan di mana pengimportannya memerlukan kelulusan di bawah 'Basel Convention on the Control of Transboundary Movement of Hazardous Waste and Their Disposals," katanya.
Norlela berkata, e-waste juga disenaraikan sebagai bahan larangan di mana pengimportannya tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam.
"Dagangan ini didapati diikrarkan sebagai aluminium aloys bagi mengelak dikesan pihak kastam.
"Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!