OKU didakwa sengaja cederakan mata, tuntut insurans RM1 juta

Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mata kirinya untuk membuat tuntutan insurans bernilai RM1 juta.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mata kirinya untuk membuat tuntutan insurans bernilai RM1 juta.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penganggur yang juga bapa kepada tiga orang anak mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sengaja mencederakan mata kirinya untuk mendapatkan tuntutan insurans bernilai RM1 juta.

Tan Kok Guan, 52. membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, Kok Guan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dituduh cuba melakukan permohonan tuntutan insurans kemalangan yang disyaki palsu.

Mengikut kertas pertuduhan, dalam percubaan itu, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kirinya untuk mendapatkan pampasan insurans berjumlah RM1 juta.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kampung Gajah, Kampung Paya, Butterworth antara jam 9 pagi hingga 6 petang pada 8 Jun 2023.

Dia didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam Yaw Xinying.

Airina menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan ke atasnya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan ke atasnya.

Xinying kemudiannya memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minima memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan menghadapi beberapa jenis penyakit kronik.

"Anak guam saya berusia 52 tahun dan tidak bekerja sejak 2023. Dia merupakan OKU iaitu buta pada mata kirinya. Semua perbelanjaan keluarga ditanggung isterinya.

"Dia juga menghadapi penyakit jantung dan strok. Anak guam saya telah memberi kerjasama sepanjang dia disiasat. Oleh itu, mohon jaminan yang minima," katanya.

Setelah mendengar rayuan daripada Xinying, Siti Zulaikha telah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Kok Guan juga didakwa di atas pertuduhan menipu sebuah syarikat insurans untuk membuat tuntutan insurans yang disyaki palsu.

Kok Guan didakwa telah memperdayakan syarikat tersebut dan dengan curangnya mendorong syarikat berkenaan memasukkan wang tunai sebanyak RM4,153.57 ke dalam akaun bank miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara jam 9 pagi hingga 6 petang pada 20 Julai 2023.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda.

Airina menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Siti Zulaikha kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 20 Februari untuk semakan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!