Warga emas mangsa ragut di Bangsar meninggal dunia, Fahmi zahir takziah

Rakaman CCTV menunjukkan Foong Mei sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya. Gambar kecil: Foong Mei
Rakaman CCTV menunjukkan Foong Mei sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya. Gambar kecil: Foong Mei
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Isnin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan Lim Foong Mei, warga emas yang menjadi mangsa ragut bermotosikal di Jalan Limau Manis, Bangsar pada bulan Oktober lepas.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau sempat melawat mendiang Foong Mei, 78, bersama Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas insiden tersebut.

"Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga dan kenalan Lim Foong Mei - mangsa ragut di Jalan Limau Manis, Bangsar pada bulan Oktober. Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” kata Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Fahmi sempat melawat mendiang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas insiden tersebut. Foto Fahmi Fadzil
Fahmi sempat melawat mendiang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas insiden tersebut. Foto Fahmi Fadzil

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi pada 7 Oktober lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Foong Mei sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya.

Kejadian itu menyebabkan beliau terjatuh dan tidak bergerak di atas jalan sebelum didatangi beberapa orang yang lalu-lalang dan membantunya beberapa minit kemudian.

Foong Mei kemudian dibawa ke PPUM untuk rawatan akibat pendarahan di kepala dan diletakkan bawah pemerhatian perubatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!