Sabak Bernam penyumbang hartanah wakaf terbesar di Selangor
SHAH ALAM - Daerah Sabak Bernam mencatatkan jumlah hartanah wakaf terbesar di negeri Selangor dengan keluasan 14.2 hektar pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar berkata, jumlah hartanah itu sekali gus menjadi penyumbang terbanyak kepada hartanah wakaf di negeri ini yang berjumlah 28.8 hektar dengan nilai sebanyak RM36.2 juta.
"Ini menunjukkan bahawa masyarakat mula sedar tentang kepentingan berwakaf dan sebahagian besarnya tanah ini boleh digunakan untuk manfaat sama ada disewakan atau dibangunkan untuk pertanian dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar semasa Majlis Meet And Greet Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor di sebuah restoran di sini pada Isnin.
Menurut Anuar, terdapat beberapa pembangunan tanah wakaf di negeri ini juga dilihat sebagai aset berharga untuk menjana ekonomi dan pembangunan sosial sekali gus memaksimumkan manfaatnya kepada masyarakat.
Ujar beliau, salah satu contoh tanah wakaf bagi pembangunan pertanian iaitu projek ladang nanas diusahakan oleh seorang individu di Kampung Sungai Merab, Bangi.
"Selain itu, PWS juga sedang membangunkan sebuah stesen minyak di atas tanah wakaf yang akan memberi manfaat kepada Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang.
"Wakaf ini sangat luas, bukan sahaja dalam bentuk tunai, tetapi boleh juga digunakan dalam bentuk kebajikan seperti pembangunan, pendidikan dan institusi masjid," tambah beliau.
Sementara itu, katanya, orang ramai atau agensi yang membuat kutipan wakaf di negeri ini dinasihatkan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada PWS.
Ujar beliau, mana-mana pihak boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM1,000 sekiranya menjalankan kutipan wakaf tanpa kebenaran.
"Kita tidak mahu kutipan wakaf ini disalahguna individu atau pihak tertentu dan ia jelas merupakan satu kesalahan dari sudut perundangan," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, PWS berjaya mengutip sebanyak RM60 juta berbanding sasaran kutipan RM112 juta dana wakaf pada tahun ini.
Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.4 juta wakaf fisabilillah telah diagihkan kepada 69 institusi yang telah menerima kelulusan permohonan masing-masing.
"Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh masjid menerima dana wakaf sebanyak RM329,682, 12 surau pula RM430,786 dan 45 institusi pendidikan sebanyak RM1.5 juta," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!