Rumah kosong jadi stor simpanan rokok seludup terbongkar

Norlela (tengah) menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam serbuan dijalankan.
Norlela (tengah) menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam serbuan dijalankan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Menjadikan rumah tidak berpenghuni dan terbiar sebagai tempat penyimpanan rokok seludup terbongkar dalam serbuan di tiga premis kediaman di Kajang, Hulu Langat dan Bandar Sri Damansara pada Oktober dan November lalu.

Serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Dua Selangor itu menemukan sebanyak 728,972 batang rokok putih dan kretek yang bernilai RM608,803 termasuk cukai dalam operasi berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi pada 22, 24 Oktober serta 8 November lalu itu dijalankan susulan maklumat serta risikan diterima pihaknya.

Beliau berkata, serbuan pertama melibatkan sebuah rumah kedai di Hulu Langat serta merampas sebanyak 90,000 batang rokok.

"Susulan itu, maklumat diperoleh kemudiannya membawa kepada serbuan kedua melibatkan dua rumah kosong di Kajang dan Bandar Sri Damansara sebelum menemukan lebih 638,000 rokok.

"Semakan mendapati kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM124,129 dengan duti berjumlah RM484,674," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Isnin.

Katanya, usaha mengesan sindiket terlibat sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang akhbar sama, Norlela berkata, sebuah kontena berisi 3,000 kilogram (kg) tembakau sedut bernilai RM8.4 juta dikesan menerusi operasi dijalankan di Pelabuhan Barat, 5 November lalu.

"Pemeriksaan mendapati kesemua tembakau itu disembunyikan dalam 100 beg plastik yang berada di bahagian belakang kontena terbabit.

"Semakan mendapati kontena berkenaan diikrarkan secara tidak betul dengan mengikrar dagangan sebagai ‘pelbagai barang campur’ bagi mengelak dikesan kastam," katanya.

Menurutnya, kedua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!