Lelaki OKU kudung tangan, rakan dituduh lakukan rompakan berkumpulan

Cheow Chuan (dua dari kiri) bersama Muhammad Zaim mengaku tidak bersalah melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin.
Cheow Chuan (dua dari kiri) bersama Muhammad Zaim mengaku tidak bersalah melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bersama rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan melibatkan 160 bungkusan barang kemas.

Mah Cheow Chuen, 43, yang kudung tangan kanan dan Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang ke atas seorang lelaki dengan merompak dua guni mengandungi 160 parcel barang berharga iaitu barang kemas.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu hadapan sebuah premis di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, Bagan Ajam, Butterworth pada jam 7.35 petang, 12 Disember lalu.

Oleh itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum 20 tahun penjara serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka turut menghadapi pertuduhan secara berasingan membabitkan memiliki harta curi.
Mereka turut menghadapi pertuduhan secara berasingan membabitkan memiliki harta curi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan terbabit merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuan, Cheow Chuen memohon jaminan diberikan berikutan dia perlu menanggung isteri, lima orang anak serta ibu yang sudah tua sementara Muhammad Zaim pula yang bekerja sebagai tukang besi memberitahu mahkamah, dia perlu menyara isteri serta kedua-dua ibu bapanya yang kini memerlukan rawatan dialisis.

Nurzafirah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menangguhkan kes sehingga 15 Januari depan untuk serahan dokumen.

Sementara itu, Muhammad Zaim dan Cheow Chuen turut dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki harta curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, pada 17 Disember lalu.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Siti Zulaikha kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan sekiranya gagal bayar akan dipenjara lima bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!