Polis kesan saksi pejalan kaki maut dilanggar lari
KLANG - Polis sedang mengesan saksi kejadian langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki di Batu 3, Jalan Meru di sini pada 23 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, kemalangan melibatkan mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku dari arah Meru menghala ke Klang kira-kira jam 8.15 malam dan siasatan mendapati mangsa sedang berjalan kaki sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak pasti.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kenderaan yang terlibat melanggar mangsa terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!