[VIDEO] PU Azman dipenjara lagi enam tahun, satu sebatan

A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah selebriti, PU Azman dihukum penjara enam tahun dan satu sebatan, selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada tujuh tahun lalu.

Ini kali keempat dia dijatuhi hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, Mahkamah Sesyen Klang (24 tahun penjara dan dua sebatan) manakala Mahkamah Majistret Klang (penjara 14 bulan).

Hakim, Rasyihah Ghazali memerintahkan Azman, 43, atau nama sebenar Azman Syah Alias menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Isnin.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan pertuduhan kedua yang dihadapi pelakon drama ‘7 hari mencintai musim ketiga’ itu sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Azman dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, bagi menghadapi dua pertuduhan kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada 2017 lalu.
Azman dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, bagi menghadapi dua pertuduhan kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada 2017 lalu.

Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan pasukan pembelaan pada Oktober lalu.

Pada 22 Disember 2022, tertuduh yang lebih dikenali sebagai Cik Man mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik sebuah rumah inap desa, di Jalan Kebun di sini, antara jam 12 tengah malam dan 5.30 pagi, September 2017.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh mengajak mangsa dan rakan-rakannya melepak di sebuah rumah inap desa.

Pada jam 12 tengah malam, tertuduh mempelawa mangsa tidur di lokasi kejadian manakala rakan lain pulang ke rumah masing-masing.

Tertuduh kemudiannya masuk ke bilik mangsa dan melakukan kesalahan berkenaan.

Semasa rayuan untuk mengurangkan hukuman, peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana anak guamnya telah insaf dan kesal atas perbuatan yang dilakukan.

“Dia yang juga seorang duda, sedang menjalani hukuman penjara di Kajang sejak 27 September lalu atas kes seksual lain, namun sebelum ditahan, dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan lampau.

“Di penjara itu, dia terlibat dengan program keagamaan yang memberikan manfaat kepada banduan lain dan kakitangan penjara,” katanya yang turut ditemani peguam, Fahmi Adilah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam, melebihi keperluan peribadi tertuduh.

“Walau apa juga mitigasi yang dikemukakan, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak sewajarnya berlaku, terutama tertuduh merupakan seorang pendakwah selebriti,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, S Ruthra Raj.

Pada 27 September lalu, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhi Azman hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki ketika kejadian berusia 17 tahun, pada 2022 lalu.

Hakim, Noridah Adam memerintahkan pendakwah selebriti itu menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta, selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Pada 6 Disember, Mahkamah Majistret Klang pula menjatuhi tertuduh hukuman penjara 14 bulan selepas Azman mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, pada 10 Jun 2022.

Sementara di Mahkamah Sesyen Seremban pada 17 Disember, dia dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, pada tahun sama.

Sementara di Mahkamah Sesyen Ampang, satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dihadapi Azman, telah ditarik balik.

Sementara itu, Mohamad Zahid berkata, semua hukuman yang dihadapi anak guam, berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum.

“Dia menghadapi 12 pertuduhan, namun dua kes telah diberi perintah TIC dan semua hukuman berjalan serentak, tiada pertambahan bagi hukuman penjara,” katanya ketika di luar mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!