YBR salur RM3 juta bagi pembangunan pendidikan di Sabah
SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM 3 juta untuk tempoh setahun bagi Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025.
YBR dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu melibatkan bantuan di beberapa kawasan parlimen di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah bagi menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan memandangkan Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
"Selain itu, ia bertujuan meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya mereka berada di kawasan luar bandar.
"Untuk makluman, bantuan ini melibatkan kumpulan individu dalam kalangan asnaf dan B40. Dijangkakan lebih 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan ini," katanya ketika menghadiri Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud.
Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor diringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Tambah YBR, pihaknya akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dalam bidang pendidikan.
Jelasnya, sepanjang tahun 2024, YBR telah memperuntukan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.
"Melalui bantuan awal pengajian dan persekolahan sahaja, seramai 30,572 murid serta pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) selain 226 buah sekolah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini," ujarnya.
Sementara itu, Ewon mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana sentiasa memberi sokongan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan golongan kurang bernasib baik terutamanya pelajar di kawasan pedalaman”.
"RM 3 juta bagi tahun 2025 ini merupakan bantuan pendidikan melalui tuisyen dan seminar kepada calon SPM 2025. Antaranya adalah keperluan persekolahan, awal pengajian, pengangkutan ke sekolah serta program asrama desa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!