Wai Ching tanam misi rampas semula ranking nombor satu dunia

Soh Wai Ching. Foto fail Bernama
Soh Wai Ching. Foto fail Bernama
A
A
A

PELARI menara nombor satu negara, Soh Wai Ching berazam untuk merampas semula ranking nombor satu dunia pada tahun 2025.

Juara Dunia Larian Menara 2024 itu berkata, beliau akan memastikan misi berkenaan berjaya dicapai selewat-lewatnya November tahun depan dengan memenangi semula kejohanan terbesar, Maraton Menegak Antarabangsa Menara Shanghai pada bulan itu.

"Pada tahun ini, satu kejohanan sahaja saya dapat nombor 11 iaitu di Shanghai. Saya tidak sihat dan dapat nombor 11, ia kejohanan yang mempunyai mata yang besar, dan apabila saya tewas, ranking saya jatuh ke tangga kedua.

"Tahun depan saya nak tebus semula kekecewaan dengan mendapat nombor satu pada kejohanan itu, sekali gus naikkan semula ranking saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 30 tahun berkenaan turut berhasrat untuk meningkatkan peratusan kemenangan dalam kejohanan yang akan disertainya kepada 90 peratus, berbanding 78 peratus yang diraihnya tahun ini.

Wai Ching berkata, beliau akan memulakan kempen tahun 2025 dengan menyertai kejohanan besar Maraton Menegak Antarabangsa PingAn di Shenzhen, China yang menyediakan 200 mata pada 11 Januari, diikuti Kejohanan StairClimbing di Osaka, Jepun pada 16 Februari.

"Saya akan pastikan pada kejohanan ini saya menjadi juara,” katanya.

Atlet kelahiran Selayang itu memahat nama sebagai juara dunia selepas berjaya menawan puncak Taipei 101 di Taiwan sebagai juara Kejohanan Larian Menara Dunia pada Mei, selain mendominasi kategori lelaki terbuka Larian Menara Naza 2024.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berjaya mempertahankan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut pada perlumbaan menaiki anak tangga bangunan menara Scale the Strat di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat pada Februari.

Sementara itu, Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh berkata, pihaknya bakal menganjurkan tiga kejohanan berprestij yang akan menyediakan banyak mata di tanah air bagi tahun 2025.

"Tahun ini di Malaysia kita ada 15 kejohanan, tapi kelemahan adalah kutipan mata tidak tinggi. Jadi tahun depan kita anjur tiga kejohanan besar di Malaysia iaitu dua kejohanan yang ada 200 mata dan satu 120 mata.

"Ia bagi memastikan ramai atlet negara menyertai kejohanan ini, sekali gus tambah mata dan tingkatkan ranking dunia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!