Warga emas rentung rumah terbakar

Mangsa ditemui di depan pintu rumah yang berkunci dipercayai cuba selamatkan diri

Mayat warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat semalam.
Mayat warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat semalam.
A
A
A

KANGAR - Seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari, mangsa, Siti Aishah Saad, 85, ditemui rentung dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya.

Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal berdasarkan lokasi mayatnya ditemui di depan pintu yang berkunci di ruang tamu rumah terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.29 tengah hari sebelum tiba kira-kira enam minit kemudian ke lokasi kejadian.

Ruhisha Haris
Ruhisha Haris

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, didapati rumah didiami warga emas itu terbakar sebelum merebak ke sebuah rumah kosong berhampiran.

"Warga emas terbabit dipercayai ada berusaha menyelamatkan diri namun gagal untuk keluar kerana terperangkap akibat pintu di ruang tamu itu berkunci.

"Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 30 minit sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.20 petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ruhisha berkata, punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat," kata beliau.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang meragut nyawa seorang warga emas di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat hari ini.
Anggota bomba memadamkan kebakaran yang meragut nyawa seorang warga emas di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!