Kemas terima RM40 juta selenggara semula Tabika, Taska uzur

Mohd Hanafiah (tengah) melihat pameran robotik sempena lawatan ke Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng pada Isnin.
Mohd Hanafiah (tengah) melihat pameran robotik sempena lawatan ke Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng pada Isnin.
A
A
A

GOPENG - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima peruntukan RM40 juta bagi kerja-kerja baik pulih Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu memberi keutamaan kepada premis yang uzur dan rosak.

Menurutnya, hasil dapatan, daripada 10,600 kelas yang beroperasi, lebih 60 peratus memerlukan penyelenggaraan segera atas faktor keselesaan dan keselamatan murid.

"Keutamaan sudah tentu diberikan kepada bangunan yang sudah agak berusia kerana kita nak lihat anak-anak yang berada di Tabika selamat untuk mengikuti pelajaran mereka.

"Buat masa ini semua negeri sedang menyiapkan data akhir Tabika dan Taska yang perlu dinaik taraf dan baik pulih.

Mohd Hanafiah
Mohd Hanafiah

"Insya-ALLAH pada awal Februari kita dah boleh mula proses sebut harga dan tender untuk kerja-kerja tersebut," katanya kepada pemberita sempena perjumpaan bersama kakitangan Kemas Perak di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kemas Perak, Taufik Mohd Yusop.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hanafiah berkata, bermula tahun depan, Kemas akan membina 17 Tabika baharu di beberapa negeri termasuk Perak bagi menampung keperluan pembelajaran di situ.

Mohd Hanafiah (tengah) menyantuni warga Kemas Perak sempena lawatan ke Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng pada Isnin.
Mohd Hanafiah (tengah) menyantuni warga Kemas Perak sempena lawatan ke Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng pada Isnin.

Katanya, sehingga kini Kemas menerima permohonan yang tinggi daripada ibu bapa bagi kemasukan ke Tabika dengan senarai menunggu sahaja melebihi 20,000 kanak-kanak.

"Alhamdulillah minat ibu bapa untuk menghantar anak ke Tabika Kemas semakin meningkat. Sudah tentu perkara ini turut disokong dengan pelaksanaan program pra tahfiz.

"Tahun hadapan program pra tahfiz akan dikembangkan daripada 4,000 kelas kepada 8,000 kelas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!