Pekerja pembersihan didakwa amang seksual budak perempuan

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan. Gambar hiasan.
Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun.

Muhammad Ikmal Mansor, 29, didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara membuka zip hadapan seluarnya supaya dilihat oleh mangsa bagi tujuan seksual di tepi tangga sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras pada jam 11.30 pagi, 25 Disember lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

"Selain itu, pihak kami mohon syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya kerana mereka tinggal di PPR yang sama,” katanya.

Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai pengangkut sampah akan berkahwin pada Februari depan manakala ibunya menghidap kanser payu dara dan baru sahaja menjalani pembedahan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Februari tahun depan untuk sebutan kes.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!