KDN guna teknologi tangani jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan inisiatif penggunaan teknologi bagi menangani jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kos inisiatif teknologi adalah lebih rendah berbanding pembinaan tembok.
"Keutamaan saya adalah memastikan setiap langkah yang diambil dari teknologi ke kerjasama antarabangsa mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
"Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi rentas mereka di Rantau Panjang, Kelantan dan Insya-ALLAH ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia," jelasnya.
Saifuddin berkata, keselamatan sempadan negara adalah keutamaan beliau sejak dilantik ke jawatan tersebut dan pelbagai inisiatif serta tambah baik telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk Malaysia-Singapura.
"Pemeriksaan Imigresen menggunakan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor adalah satu kejayaan untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura," kata Saifuddin.
Selain itu, beliau berkata, penggunaan gate automatik di KLIA Terminal 1, Terminal 2 dan BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan pengembara ke Malaysia.
"Kekuatan sebenar bermula dengan mereka yang menjaga sempadan kita.
"Di Padang Besar, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna, dan taman permainan.
"Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!