Penganggur miliki senjata tiruan ditahan

 Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki memiliki senjata tiruan di sekitar Chukai, petang semalam. Gambar hiasan
Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki memiliki senjata tiruan di sekitar Chukai, petang semalam. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki memiliki senjata tiruan di sekitar Chukai, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, suspek berusia 48 tahun ditahan hasil laporan yang dibuat penduduk tinggal berdekatan.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 55 tahun yang membuat laporan polis mendakwa terdengar bunyi tembakan, sebelum menemui beberapa biji bebola besi di parkir hadapan rumahnya di Taman Banggol Indah, Kemaman.

"Lelaki itu juga sebelum ini menjumpai kesan serpihan kaca di atas lantai tangga dan kesan lubang pada kaca tangga rumahnya, selain turut menemukan biji bebola besi di atas lantai balkoni dan parkir keretanya pada jam 4.30 petang, 18 Disember lepas.

"Dia membuat laporan polis kerana risau keselamatan diri dan keluarga pada jam 2.14 petang semalam,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Wan Muhamad berkata, suspek dipercayai menggunakan senjata tiruan iaitu slingshot yang dibeli secara dalam talian berserta peluru jenis bebola besi yang disyaki digunakan untuk menembak burung liar.

"Suspek kini direman hingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!