Penduduk desak kolam takungan bersebelahan Taman Seri Alam ditutup

Benteng pecah menyebabkan limpahan air dari kolam takungan masuk ke Taman Seri Alam. Gambar kecil dari kanan: Mohd Syukri, Mohamed Sulaiman, Shamsudin
Benteng pecah menyebabkan limpahan air dari kolam takungan masuk ke Taman Seri Alam. Gambar kecil dari kanan: Mohd Syukri, Mohamed Sulaiman, Shamsudin
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk Taman Seri Alam Saujana Utama di sini memohon kolam takungan yang pecah hingga menyebabkan kawasan perumahan mereka dilimpahi air pada Ahad ditutup sepenuhnya.

Seorang penduduk, Mohd Syukri Kamaruddin, 41, berkata, struktur kolam tidak kukuh ekoran ketiadaan 'beam' dan cerucuk dibimbangi memberikan kesan jangka masa panjang kepada penduduk jika dibenarkan terus beroperasi.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku menyebabkan penduduk terkena impaknya dan membabitkan kerosakan harta benda.

"Kali pertama berlaku sekitar 2015 ketika itu berlaku kebocoran atau rekahan pada kolam tersebut menyebabkan limpahan air masuk ke kawasan perumahan kami setinggi 0.1 meter namun tidak seteruk Ahad.

Shamsudin menunjukkan perkakasan rumah yang rosak selepas kawasan perumahan dilimpahi air kesan benteng kolam takungan pecah.
Shamsudin menunjukkan perkakasan rumah yang rosak selepas kawasan perumahan dilimpahi air kesan benteng kolam takungan pecah.

"Pada Ahad, air naik hampir 0.3 meter, keadaan seperti tsunami apabila air tiba-tiba naik mendadak hinggakan penduduk tidak sempat berbuat apa-apa," katanya ketika tinjauan Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Syukri berkata, kejadian terbaharu itu didakwa berlaku selepas pemaju melakukan kerja menebuk kolam tersebut untuk aliran keluar air kira-kira dua bulan lalu.

"Ketika itu, penduduk sudah bantah sebab bimbang benteng tersebut tak mampu tampung tekanan air tapi pemaju tetap teruskan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi apabila berlaku kejadian ini, penduduk harap kolam tadahan ini ditutup sepenuhnya dan perkara ini telah disampaikan kepada wakil rakyat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamed Sulaiman Fakeer Mohd, 51, berkata, sebelum kejadian kolam takungan pecah, beberapa insiden limpahan air daripada kolam tersebut telah berlaku susulan hujan lebat.

Susulan aduan tersebut katanya, pemaju bertindak menebuk kolam itu untuk buat dibuat saliran keluar bagi mengatasi limpahan air tersebut.

"Ini adalah kesilapan pemaju kerana dari awal lagi penduduk tak setuju dibina kolam takungan di sini kerana sudah terdapat tasik Hillpark.

"Selain itu, kawasan kami rendah, jadi bila mahu bina kolam di sini sudah tentu penduduk bantah namun suara kami tidak didengar menyebabkan kesannya kini penduduk yang terpaksa tanggung," katanya.

Mohamed Sulaiman tidak dapat mengambil pelajar pada Isnin selepas dua van sekolahnya turut terkesan susulan insiden tersebut.

Dia alami kerugian lebih RM10,000 selepas tidak dapat menyelamatkan harta benda susulan tiada di rumah semasa kejadian kerana berada di Melaka menghantar anak pulang ke universiti.

Bagi Shamsudin Abdul Karim, 52, pula berkata, kolam itu wajar ditutup selepas berlaku dua insiden benteng pecah hingga memudaratkan penduduk berhampiran.

Jelasnya, kolam itu untuk kegunaan Taman Hillpark, sementara Taman Seri Alam sudah mempunyai kolam saliran di Saujana Utama 4.

"Kalau banjir disebabkan bencana alam kami boleh terima, tapi limpahan air yang berlaku pada Ahad disebabkan kesilapan pemaju membina kolam takungan di sini.

"Kolam ini pun bukan untuk kegunaan penduduk Taman Seri Alam jadi saya harap Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) ambil tindakan tutup kolam ini kerana sudah terdapat alternatif saliran menggantikan kolam ini," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Taman Seri Alam dilanda banjir selepas benteng kolam takungan bersebelahan perumahan itu pecah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.

Katanya, benteng pecah telah menyebabkan air telah melimpah ke keseluruhan taman dan paras air adalah sekitar satu kaki atau 0.3 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!