Polis cari Fahmi Reza, lebih 30 laporan diterima

Jauteh dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
Jauteh dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah sedang mencari aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza berkaitan poster bakal Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya setakat ini telah menerima lebih 30 laporan polis berkaitan dengan aktivis berkenaan.

"Kertas siasatan telahpun dibuka dan kita mencari dia untuk bertanggungjawab atas perbuatannya supaya pihak polis dapat meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

"Kita belum dapat dia, sila datang (jika dia bersedia beri kerjasama). Hasutan (kesalahan) dan dipercayai dia masih di Sabah.

"Kalau esok dia hadir maka sesuatu yang mudahlah kita dan jangan pula yang lain itu terprovokasi sebab kita sudah terang menyatakan bahawa kita sedang mencari dia untuk siasatan di bawah Akta Hasutan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Isnin.

Diminta mengulas siasatan menjurus kepada kesalahan yang bagaimana, Jauteh menjelaskan bahawa siasatan berkaitan dengan poster yang ditampalnya di beberapa lokasi di negeri ini.

"Itu salah satu melibatkan poster iaitu menghasut, memburukkan dan sebagainya. Dia mengemukakan karikatur, menghasut orang ramai membenci jadi itu menghasut.

"Jadi kalau dia ada di situ esok (perhimpunan aman), kita yang mencari dia selama ini, kita akan ambil (ambil keterangan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hantaran di Facebook Fahmi Reza sebelum ini beliau maklum bahawa terdapat dua laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung poster yang disiarkannya.

Beliau dalam hantarannya berkata, bersedia untuk pergi ke balai polis untuk disiasat pada bila-bila masa untuk mempertahankan hak dan kebebasannya dalam berseni dan satira sebagai senjata untuk mengkritik pihak berkuasa dan melawan koruptor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!