Lelaki parah motosikal bertembung kereta
KOTA TINGGI - Seorang lelaki parah setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer (KM) 19 Jalan Rengit-Kota Tinggi pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan terbabit pada jam 8 malam yang melibatkan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115z dan kereta jenis Toyota Yarris.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang datang dari arah Gugusan Adela menghala ke Sungai Rengit.
“Setibanya ke lokasi, motosikal berkenaan telah bertembung dengan kereta yang datang dari arah Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar di persimpangan empat lampu isyarat yang tidak berfungsi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah patah tangan kiri dan kanan, patah kaki kiri dan kanan, patah dua rusuk bahagian hadapan dan patah tulang belakang.
"Mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala pemandu kereta yang merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!