Mangsa meninggal dunia, polis semak semula kes ragut warga emas di Bangsar

Rakaman CCTV menunjukkan Foong Mei sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya.
Rakaman CCTV menunjukkan Foong Mei sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak semula kes ragut melibatkan wanita warga emas, Lim Foong Mei di Bangsar pada 7 Oktober selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, cadangan terhadap sebarang perubahan dalam pertuduhan yang dihadapi suspek, M Thanabalan,38, akan dibuat bergantung kepada hasil semakan nanti.

"Suspek telah ditangkap dan dituduh di mahkamah, mangsa (warga emas) telah dibenarkan keluar dari hospital dan siasatan lanjut akan dibuat berhubung punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan kecederaan semasa kejadian ragut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 7 Oktober lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Lim sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya.

Kejadian menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak bergerak di atas jalan sebelum didatangi orang awam yang kemudian membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan akibat pendarahan di kepala.

Pada 24 Oktober lepas suspek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan rompakan harta beg tangan dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita warga emas dengan cara meragut.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!