AKEPT, UiTM tempa nama di Persidangan Pendidikan Tinggi Istanbul

Norazharuddin (kanan) dan pasukan UiTM bersama sekumpulan penyelidik dari Universiti Istanbul.
Norazharuddin (kanan) dan pasukan UiTM bersama sekumpulan penyelidik dari Universiti Istanbul.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan An Institutional Leadership Framework on University Academics Decision to become Institutional Leaders dinobat Best Paper Award di Persidangan Pendidikan Tinggi Istanbul.

Kertas kerja itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Madya Dr Norazharuddin Shah Abdullah bersama Ketua Penolong Setiausaha AKEPT, Azian Azman.

Turut serta ialah dua pembentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Profesor Dr Erlane K Ghani dan Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais.

Norazharuddin berkata, ia merupakan langkah AKEPT ke persada antarabangsa bagi pengukuhan agenda kepimpinan pendidikan tinggi dengan kolaborasi UiTM.

"Pembentangan tersebut telah mendapat perhatian dengan meraih Best Paper Award atau Kertas Terbaik dalam perkongsian ilmu kepimpinan berkaitan Pengurusan Bakat berasaskan Kompetensi.

"Ia menekankan kepentingan proses pemilihan bakat yang holistik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan institusi pendidikan tinggi sentiasa berada di tahap yang cemerlang," katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, AKEPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi konsisten dalam menginstitusikan pengurusan bakat berasaskan kompetensi.

Ujar beliau, ia seiring konsep Madani iaitu memberi penekanan kepada nilai-nilai perlu diketengahkan sebagai pemimpin yang mencorak generasi akan datang untuk keperluan negara dalam kepelbagaian bidang.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi memastikan kecemerlangan kepimpinan di institusi pengajian tinggi, penting untuk AKEPT mewujudkan inisiatif yang boleh mengukur jurang kompetensi kepimpinan bakat berpotensi.

"Ia bagi melaksanakan pelan pembangunan kepimpinan lebih strategik untuk pengurusan bakat berkesan dan cekap.

"Salah satu pendekatan yang telah digunakan oleh AKEPT ialah instrumen Behavioral Event Interview (BEI)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!