Tembok konkrit hujung landasan jadi punca nahas Jeju Air?
MIDDLESEX - Tragedi Jeju Air, penerbangan 7C 2216 dari Bangkok ke Seoul yang mengorbankan 179 mangsa penumpang berdepan pelbagai persoalan serius selepas pakar penerbangan mempertikaikan beberapa penyebab.
Pakar keselamatan udara terkemuka, David Learmount memberitahu Sky News, pelanggaran dengan tembok yang menyokong sistem panduan pada hujung landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Sabtu adalah ‘detik penentu’ bencana tersebut.
“Bukan sahaja tiada justifikasi untuk ia berada di lokasi itu, saya berpendapat struktur tersebut adalah satu bentuk kesilapan jenayah,” ujarnya.
Sebelum tragedi itu berlaku, beberapa saksi mendakwa mereka melihat sekumpulan besar burung terbang di sekitar landasan tersebut, malah petugas di menara kawalan turut memberi amaran awal.
Kira-kira seminit kemudian, juruterbang dilaporkan menghantar isyarat kecemasan.
Ketika pesawat itu mendarat pada percubaan kedua, gear pendaratan dikatakan tidak berfungsi dan hal itu dapat dilihat menerusi rakaman yang kini menjadi tular.
Learmount percaya kesemua mangsa penumpang mungkin boleh terselamat meskipun ia meluncur agak laju selepas pesawat berjaya mencecah landasan tanpa gear pendaratan.
“Juruterbang sebenarnya telah mengawal dengan baik sebelum ia merempuh struktur konkrit di hujung landasan,” katanya.
Imej satelit menunjukkan tembok yang menempatkan sistem instrumen pendaratan tersebut berada di kawasan selatan berhampiran pagar perimeter dan ia berfungsi untuk membantu juruterbang pada waktu malam atau ketika jarak penglihatan rendah.
Di kebanyakan lapangan terbang, struktur itu ditempatkan pada struktur boleh dilipat.
“Saya tidak pernah melihat binaan yang berada pada jarak 200 meter (m) di landasan di mana-mana lapangan terbang.
“Sebenarnya ada ruang untuk pesawat itu berhenti dengan selamat jika tiada struktur konkrit tersebut,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Joo Jong-wan menegaskan tembok konkrit itu mematuhi standard industri ketika banyak pihak mula melihat ia sebagai punca utama nahas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!